Hasil Kajian Ringkas : Kemelesetan Ekonomi Malaysia



1.0 Pendahuluan
Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang membangun. Oleh itu, tidak mustahil bagi sebuah negara seperti Malaysia ini mengalami kemelesetan ekonomi. Sebelum ini, sektor ekonomi Malaysia yang utama ialah pertanian. Akan tetapi, akibat perubahan masa, struktur ekonomi ini telah berubah dengan adanya sektor lain seperti sektor perindustrian dan sebagainya.  Perubahan struktur ini boleh berlaku sama ada secara sengaja atau secara sendiri (Zulkifli 1992: 3-4). Perubahan ini dikatakan secara sengaja apabila melalui proses yang dirancang oleh kerajaan bagi tujuan pencapaian sesuatu matlamat. Sebaliknya, perubahan juga boleh berlaku tanpa dirancang tetapi mengikut perubahan masa, suasana sosioekonomi, sosiopolitik dan kualiti sumber semasa yang ada (Zulkifli 1992: 4).
Perubahan ini kerap difahamkan sebagai kemajuan dan pembaikan ekonomi sesebuah negara. Kebanyakan negara maju sekarang, kekuatan ekonominya banyak mendapat sumbangan daripada sektor perindustrian. Sebagai sebuah negara yang mempunyai ekonomi terbuka, prestasi ekonomi Malaysia amat dipengaruhi oleh persekitaran global yang disalurkan melalui perdagangan, aliran kewangan dan melalui “kesan jangkitan”, misalnya dalam hal kegawatan atau krisis ekonomi 1997/1998. Ekonomi Malaysia terus dipengaruhi oleh kedudukan ekonomi dunia. Hal ini disebabkan oleh darjah ekonomi terbuka yang tinggi telah mencirikan ekonomi Malaysia sejak tahun-tahun awal pembangunan sehinggalah sekarang.
Tahun-tahun 1980-an menunjukkan ekonomi negara mengalami kadar pertumbuhan yang lembap akibat daripada kemelesetan ekonomi dunia keseluruhannya. Dalam keadaan ketidakpastian ini, ramalan-ramalan yang tepat sukar dibuat dan jika dilakukan pun kita tidak boleh terlalu berkeyakinan terhadapnya. Keadaan ketidakpastian ini juga mencerminkan bahawa kemelesetan ekonomi dunia bukanlah bersifat sementara tetapi berkait rapat dengan aspek-aspek struktural dan jangka panjang yang sukar diatasi dalam jangka pendek.

2.0 Sejarah ekonomi Malaysia
2.1 Era prapenjajahan
Jika dihalusi daripada fakta sejarah, kegiatan ekonomi di Semenjung Malaysia dalam bentuk pertanian bercucuk tanam dan penternakan telah bermula sejak dari zaman logam iaitu 2500 tahun dahulu lagi. Pergantungan hidup kepada bercucuk tanam dan penternakan menandakan bermulanya kehidupan saling bergantungan dan berhubung antara satu sama lain yang dijelmakan melalui perdagangan. Bahan galian seperti bijih timah dan besi serta barang perhiasan seperti emas, manik dan tembikar mula diperdagangkan. Akibat daripada kegiatan perdagangan ini muncul beberapa tempat sebagai pusat perdagangan seperti Gua Kepah dan Pangkalan Bujang (Kedah), Jenderam Hilir (Selangor) dan Kuala Selinsing (Perak).
Kegiatan ekonomi bertambah rancak dengan tertubuhnya beberapa buah kerajaan Melayu Tua seperti Kedah Tua yang terletak di Lembah Bujang. Kerajaan Kedah Tua ini menjadi pelabuhan antarabangsa dengan berlabuhnya banyak kapal dari India, Asia Barat dan China. Penulis-penulis India menamakan Semenanjung Malaysia ketika itu sebagai Bumi Emas (Suvarnabumi). Kerajaan Kedah Tua yang wujud pada kurun kelima masihi terus berkembang sehingga kurun ke-14.
Pembukaan Melaka oleh Parameswara telah membuka lembaran baru dalam sejarah politik dan ekonomi Semenanjung Malaysia. Para sejarawan menganggarkan bahawa Parameswara (atau nama islamnya Iskandar Shah) mula berkerajaan di Melaka pada kira-kira penghujung abad ke-14 (Zainal Abidin A. Wahib,et. Al 1988:33). Dengan pentadbirannya yang lebih tersusun, Melaka menjadi masyhur dengan kegiatan perdagangan dan jajahannya pada suatu ketika pernah merangkum kawasan sehingga ke sebahagian kepulauan Indonesia. Melaka menguasai rantau Nusantara dengan kegiatan perdagangan rempah dan lain-lain barang dagangan.
2.2 Era penjajahan
            Tahun 1511 merupakan titik bermulanya penjajahan kuasa asing di Tanah Melayu dan berlanjutan selama 446 tahun iaitu sehingga tarikh mencapai kemerdekaan, 31 Ogos 1957. Penjajahan selama 446 tahun ini melibatkan empat negara penjajah iaitu Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.
            Portugis yang mempelopori penjajahan panjajahan Tanah Melayu pada 1511 berlanjutan selama 130 tahun kemudian, Belanda menjajah Tanah Melayu pada tahun 1641 sehingga 1824. Penjajahan kedua-dua kuasa asing ini bertujuan untuk mengaut keuntungan perdagangan khususnya perdagangan rempah. Penjajahan selama 313 tahun oleh kedua-dua kuasa asing ini kurang meninggalkan kesan kepada ekonomi kecuali penerusan aktiviti yang telah sedia ada, kerana mereka tidak bertindak mengeksploitasi sumber secara besar-besaran.
Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824 membuka era penjajahan British di Tanah Melayu. Ini bermakna bermulalah perubahan yang besar dalam ekonomi hasil daripada campur tangan British. Untuk memastikan  segala kekayaan Tanah Melayu dapat dikuasai sepenuhnya, British telah memperkenalkan ‘Sistem Torrens’ yang membolehkan tanah didaftarkan di bawah pemilik tertentu. Akibatnya, penduduk kehilangan tanah pertanian mereka. Dengan sistem ini, Inggeris berjaya mewujudkan sistem perladangan bagi tanaman getahnya. Selain itu, pengimportan buruh asing seperti dari China dan India memesatkan sektor perlombongan dan perladangan, ia juga menandakan bermulanya sejarah baru struktur penduduk negara ini dengan menjadi negara majmuk yang mengandungi tiga etnik utama, iaitu Melayu, Cina dan India sehinggalah sekarang.

2.3 Era kemerdekaan
Pada era inilah kerajaan memperkenalkan satu rancangan ekonomi yang lebih teratur dengan nama Rancangan Pembangunan Ekonomi yang pertama (RPE1) atau juga dikenali sebagai Rancangan Malaya Pertama yang meliputi tahun 1956-1960. Pada era transisi ini juga Lembaga Kemajuan Tanah Perseketuan (FELDA) ditubuhkan pada tahun 1956 bertujuan mengatasi masalah petani yang kekurangan tanah di samping meningkatkan pendapatan dan kehidupan keluarga petani.
            Selepas lebih kurang satu dekad, ekonomi Malaysia mengalami perubahan yang mendadak iaitu apabila peristiwa hitam 13 Mei 1969. Rusuhan kaum yang berlaku ini dipercayai ekoran daripada wujudnya ketidakseimbangan dalam pelbagai aspek khususnya ekonomi antara kaum bumiputera dan bukan bumiputera. Maka sejak itu, beberapa dasar telah dilancarkan oleh kerajaan bermula daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) sehinggalah kepada Dasar Pembangunan Negara (DPN) dan Dasar Wawasan Negara (DWN).

3.0  Punca kemelesetan ekonomi Malaysia
Berbagai-bagai pendapat telah dikemukakan untuk menerangkan punca kemelesetan ekonomi. Pada umumnya, punca kemelestan ini dapat disusurgalurkan daripada faktor dalaman dan luaran. Faktor dalaman mengaitkan punca kemelesetan kepada kelemahan asas-asas ekonomi, kelemahan sistem kewangan dan dasar makroekonomi negara manakala faktor luaran termasuklah kelemahan sistem kewangan antarabangsa dan kegiatan spekulator mata wang (BNM, 1999).
Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), kemelestan ekonomi berpunca daripada kelemahan sistem kewangan dan corak pentadbiran negara berkenaan. Struktur kewangan yang lemah ini disebabkan oleh wujudnya kekurangan pengawasan sektor kewangan, penilaian dan pengurusan risiko kewangan yang lemah serta pengekalan kadar pertukaran yang relatif tetap. Keadaan ini membolehkan bank dan perbadanan untuk meminjam sejumlah modal antarabangsa yang besar dalam jangka masa pendek tanpa sandaran dan berbentuk mata wang asing. Kelemahan sistem pengurusan negara seperti penglibatan kerajaan dalam sektor penswastaan, kekurangan ketelusan dalam perakaunan korporat dan fiskal serta dalam penyebaran maklumat kewangan telah menambahkan lagi masalah kegawatan ini.
Kaul Krugman dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT) mengaitkan kegawatan ekonomi ini dengan kelemahan dasar makroekonomi dan sistem kewangan negara tersebut. Menurut beliau, kegawatan ekonomi ini berpunca daripada tindakan perantara kewangan yang menganggap tanggungannya secara implisit ditanggung oleh kerajaan. Golongan ini mendapat kelebihan kemudahan kewangan, melakukan pelaburan yang berlebihan, spekulasi dalam sektor hartanah dan mengagihkan sumber secara tidak efisien kepada individu yang mempunyai kaitan politik menyebabkan berlakunya kenaikan harga aset.
Menurut Jeffrey Sachs (Universiti Harvard), asas ekonomi negara terlibat adalah kukuh pada dasarnya tetapi mengalami kegawatan ekonomi disebabkan kejutan kewangan di mana berlakunya aliran keluar modal antarabangsa. Keadaan ini dirumitkan lagi dengan masalah kematangan modal dengan mata wang yang dipegang oleh bank dan peminjam. Sistem kewangan negara dikatakan tidak bersedia untuk menghadapi risiko liberaslisasi kewangan yang mendedahkan negara kepada kejutan luaran.
Joseph Yam, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Kewangan Hong Kong pula berpendapat bahawa kegawatan ini sememangnya berpunca daripada kelemahan sistem kewangan antarabangsa. Dengan liberalisasi kewangan dan globalisasi, sistem teknologi maklumat dan instrumen pelaburan yang semakin canggih dengan meninggalkan sistem kewangan dunia yang pada asasnya kekal primitif.

4.0 Implikasi kemelesetan ekonomi Malaysia

4.1 Ekonomi
4.1.1 Kesan positif
Kejatuhan nilai ringgit mewujudkan lebihan akaun dagangan yang lebih besar mengimbangi defisit yang lebih tinggi dalam akaun perkhidmatan serta mengakibatkan lebihan dalam imbangan pembayaran semasa dan defisit imbangan pembayaran. Imbangan pembayaran ('balance of payments - BOP) sesebuah negara adalah rekod semua transaksi ekonomi antara penduduk sesebuah negara dan seluruh dunia dalam masa yang tertentu (lebih satu perempat daripada satu tahun atau biasanya lebih setahun). Urusniaga ini dibuat oleh individu, firma-firma dan badan-badan kerajaan. Dengan itu imbangan pembayaran termasuk semua transaksi yang boleh dilihat dan yang tidak dilihat oleh sesebuah negara dalam tempoh tertentu, biasanya setahun. Ia merupakan jumlah keseluruhan permintaan semasa dan bekalan mata wang asing oleh negara dan tuntutan negara asing ke atas mata wang asingnya.
Salah satu kesan positif dalam hal ini ialah memberikan peluang kepada para pengeksport Malaysia untuk menetapkan harga eksport dalam sebutan dolar Amerika. Hal ini  memberikan kelebihan selagi pulangan dalam harga eksport melebihi kenaikan dalam harga import barangan perantaraan. Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, ekonomi Malaysia diunjur kekal di landasan pertumbuhan stabil antara 4.5 dan 5.5 peratus tahun ini dipacu oleh permintaan domestik berikutan sektor luar berdaya tahan. Sekalipun lebihan akaun semasa diunjur menguncup kepada antara dua dan tiga peratus daripada Pendapatan Kasar Negara (PKN) tahun ini daripada 4.8 peratus tahun lepas, penyederhanaan itu konsisten dengan pengimbangan semula global dan transformasi struktur dalam ekonomi domestik.
Selain itu, suasana ringgit yang tidak stabil juga sebenarnya memberi impak positif daripada sudut pelancongan. Industri pelancongan sudah pasti dapat menggandakan jumlah pelancong apabila Malaysia yang terkenal dengan pelbagai tempat menarik, budaya dan suasana ini akan menjadi tumpuan ramai. Berdasarkan statistik di laman web Kementerian Pelancongan, jumlah kehadiran pelancong meningkat setiap bulan Mac 2015, mencatat jumlah melebihi dua juta berbanding bulan sebelumnya hanya sejuta sahaja.
4.1.2 Kesan negatif
Pertumbuhan ekonomi yang diukur dari segi pertumbuhan KDNK sebenar telah menguncup. Kesan krisis kewangan terhadap pertumbuhan ekonomi mula dirasai pada akhir tahun 1997 apabila KDNK sebenar berkembang pada kadar yang perlahan dan mencatatkan pertumbuhan negatif bermula pada suku pertama tahun 1998. Kadar pertumbuhan ekonomi negara telah menguncup kepada -7.4% setahun pada tahun1998 akibat masalah deflasi krisis kewangan negara. Pengucupan ini berlaku akibat pengurangan permintaan dalam negeri. Permintaan dalam negeri telah berkurangan kesan daripada pelbagai faktor. Ini termasuk hakisan kekayaan sektor swasta akibat daripada kejatuhan harga saham dan nilai aset, kadar faedah tinggi, kesukaran awal sektor swasta dalam memperoleh kredit bank, keadaan mudah tunai yang ketat dan juga ketidaktentuan prospek jangka pendek ekonomi. Pada masa yang sama, didapati ekonomi rakan dagangan utama Malaysia terutama di Asia Timur juga mengalami pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan atau pengucupan. Hal ini telah mengakibatkan permintaan luar negeri bagi eksport Malaysia terjeja
            Krisis ekonomi ini telah mengakibatkan pergerakan kadar pertukaran ringgit Malaysia tidak menentu dan merosot. Kejatuhan nilai mata wang menjadi perhatian sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Hal ini disebabkan pada 14 Ogos 2015, nilai ringgit mencecah kepada RM4.08 dibandingkan 1 USD. Ini menjadikan ia jumlah yang paling rendah dalam tempoh 17 tahun. Ringgit jatuh mendadak daripada RM3.1415 untuk setiap dollar pada tahun lalu dan terus menunjukkan penurunan walaupun Perdana Menteri member jaminan untuk menanganinya. Tidak dinafikan pergolakan politik tempatan antara penyumbang utama kejatuhan Ringgit Malaysia. Selain itu, ini juga berpunca daripada penurunan harga komoditi seperti minyak, minyak sawit dan getah yang turun mendadak lebih-lebih lagi Malaysia adalah pengeluar komoditi-komoditi tersebut.
            Disamping itu, pada tahun ini Perdana Menteri Malaysia berhadapan dengan pelbagai kontroversi seperti isu 1MDB, SPRM, derma 2.6 billion yang masuk ke akaun peribadi beliau serta kes Altantuya yang tidak pernah selesai. Isu-isu berat seperti ini menimbulkan rasa kurang yakin pelabur terhadap negara ini. Tindakan kerajaan China menurunkan mata wang Yuan sekaligus juga menyebabkan kejatuhan mata wang negara ASEAN yang lain. Jangkaan bahawa Amerika Syarikat akan menaikkan kadar faedah membuatkan ramai pelabur di serata dunia memindahkan dana mereka ke dalam mata wang Amerika.
            Krisis mata wang yang melanda ASEAN menimbulkan kesan yang ketera ke atas aset kewangan Malaysia terutama pasaran saham. Setelah ekonomi Malaysia mengatasi krisis 1980-an, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) telah pulih dan mencapai tahap 1275 mata pada tahun 1993 dan tahap ini dipertahankan sehingga tahun 1996. Sejak ringgit Malaysia mula merosot, kesan segera ialah pasaran saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) semakin susut. Penggunaan akan terjejas akibat daripada jangkaan pertumbuhan pendapatan boleh guna yang lebih perlahan dan juga peningkatan dalam harga barangan yang diimport.
            Keadaan turun naik ringgit yang agak tidak menetu telah menyebabkan keputusan untuk melabur menjadi bertambah sukar. Secara teori, kadar pelaburan agregat dipengaruhi oleh beberapa pertimbangan seperti kenaikan dalam harga import barangan modal dan upah nominal yang tinggi. Tambahan lagi, para pelabur akan membuat tanggapan bahawa nilai pasaran bagi pelaburan akan menjadi lebih rendah daripada “kos penggantiannya”. Hal ini sudah tentu tidak menggalakkan aktiviti pelaburan.
            Komposisi pengeluaran dan pelaburan turut berubah dalam keadaan kemerosotan nilai ringgit. Aktiviti pengeluaran industri berasaskan pasaran tempatan akan menjadi tidak menggalakkan lagi, sementara industri berasaskan eksport yang mendapat ganjaran keuntungan yang besar daripada hasil kadar pertukaran eksport akan lebih terdorong untuk mengembangkan aktiviti eksport mereka. Namun, bagi ekonomi Malaysia, peralihan sumber yang terlalu pesat dalam jangka masa yang singkat boleh membawa kepada penyalahagihan dan ketidakcekapan dalam penggunaan sumber. Nilai nominal tempatan yang lebih tinggi berikutan nilai ringgit yang lemah menggambarkan pulangan yang tinggi. Contohnya, Keluaran Dalam Negeri Kasar Per Kapita mengikut harga asas 1987 telah mengalami kejatuhan daripada US$4 543 juta pada tahun 1996 dan menurun kepada US$3 343 pada tahun 2000.
            Berikutan krisis yang melanda Malaysia, permintaan telah berkurangan, penawaran berlebihan dan kekangan penawaran berlaku. Kesemua ini menyebabkan pengeluaran sektor utama ekonomi terjejas. Ekoran daripada ini, pengeluaran sektor utama dan sekunder merosot manakala nilai ditambah sektor perkhidmatan meningkat pada kadar yang lebih perlahan. Contohnya, dalam sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan yang rendah pada tahun 1998 iaitu -0.08% berbanding 8% pada tahun 1997.
            Selain itu, penilaian kadar pertukaran dijangka meningkatkan hutang luar negara dalam sebutan ringgit. Penyusutan nilai ringgit telah membawa kesan negatif terhadap kedudukan hutang luar negara. Semakan Berita Semasa menunjukkan data dan statitik yang dikeluarkan sendiri oleh The Economist melalui Economist Intelligence Unit yang berpangkalan di North Michigan Avenue, Chicago, Amerika Syarikat menunjukkan hutang negara Malaysia 2015 terus menunjukkan trend kenaikan sehingga meninggalkan terus negara jiran kita seperti Thailand dan juga Indonesia daripada kadar jumlah hutang kerajaan Malaysia iaitu di paras RM847,978,546,769.32 bersamaan RM847.9 bilion.
            Tekanan inflasi pada masa kini berbeza daripada pengalaman tekanan inflasi pada tahun 1970-an dan awal tahun 1980-an. Inflasi pada tempoh masa tersebut lebih mencerminkan inflasi yang diimport memandangkan kenaikan nyata dalam harga minyak menyebabkan inflasi di negara-negara perindustrian. Buktinya, Kadar inflasi negara naik 1.8 peratus pada April 2015 susulan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Statistik Indeks Harga Pengguna (CPI), Jabatan Perangkaan, menunjukkan peningkatan daripada 109.9 kepada 111.9, berbanding bulan sama tahun lalu. Pada Mac kadar inflasi hanya 0.9 peratus. Menurut statistik itu, pada April 2015 berlaku peningkatan harga arak dan hasil tembakau sebanyak 13 peratus diikuti penjagaan kesihatan (5 peratus), hotel dan restoran (4.3 peratus) serta makanan dan minuman ringan (3.1 peratus). Keempat-empat barangan dan perkhidmatan itu menyumbangkan 79.3 peratus kepada peningkatan CPI. (Rujuk lampiran 3)

4.2 Politik
4.2.1 Kesan positif
Kesan positif kemelesetan ekonomi dari segi politik sukar untuk di ketahui oleh mereka yang hanya memandang kesan negatif daripada isu ini sahaja. Sebenarnya keadaan ekonomi yang tidak stabil membolehkan Malaysia mengeratkan hubungan dengan negara luar untuk memulihkan ekonomi negara. Contohnya, China banyak membantu Malaysia dalam kerjasama ekonomi, secara tidak langsung hal ini dapat mengeratkan ikatan politik antara kedua-dua buah negara tersebut.
            Bukan itu saja, malah pemimpin Malaysia dapat mengambil pengajaran dan memperbaiki kelemahan politik kerajaan yang sememangnya punca utama kejatuhan nilai mata wang Malaysia. Kontroversi politik yang berlebihan sepanjang tahun 2015 perlu dihentikan oleh kerajaan dengan menggunakan teknik dan strategi berkesan. Sebagai contoh, perhimpunan jalanan BERSIH 4.0 baru-baru ini yang turut di hadiri oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Muhammad perlu dikekang agar tidak menyebabkan implikasi yang lebih teruk kepada masyarakat sekeliling.

4.2.2 Kesan negatif
Kesan negatifnya pula, politik Malaysia berkocak dan huru-hara disebabkan rakyatnya yang tidak dapat berdiam diri dengan keadaan ekonomi negara yang kian meruncing. Mulalah rakyat memperbodohkan kerajaan mahupun pemimpin yang sedang memerintah melalui saluran yang kurang tepat terutama di media sosial. Hal ini secara tidak langsung menjatuhkan air muka kerajaan di mata dunia dek kata-kata kurang enak rakyat yang dilemparkan kepada kerajaan dilihat oleh rakyat negara-negara lain di media sosial.
            Di samping itu, ekonomi yang kurang stabil menyebabkan proses pelaksanaan sistem politik menjadi lembab. Hal ini disebabkan kemudahan yang sedia ada tidak dapat diperbaiki dan kos perbelanjaan negara juga meningkat. Contohnya, pembangunan mega tidak dapat dilaksanakan kerana ekonomi yang tidak dapat menampung kos perbelanjaan tersebut.

4.3 Sosial
4.3.1 Kesan positif
Dianggarkan terdapat kira-kira 800 000 orang pekerja asing tanpa izin (PATI) dan pekerja asing ini menggugat peluang pekerjaan penduduk tempatan. Dengan terjadinya kemelesetan ekonomi di Malaysia, para pekerja asing mengalihkan tumpuan mereka masuk ke negara lain atau pekerja asing yang berada di Malaysia itu sendiri kembali ke tanah air mereka. Lagipun, SIRIM Berhad (SIRIM) akan lebih menumpukan kepada bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) terutama industri automasi bagi membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan ter­ha­dap pekerja asing.
            Manakala kesan positif hal ini juga dapat dilihat melalui aspek sosial yang mana rakyat dapat menjalin hubungan sesama mereka melalui pertolongan kewangan dan sebagainya. Ketika krisis seperti ini berlaku, rakyat perlu berdikari dengan mengurangkan kebergantungan sepenuhnya terhadap kerajaan. Secara tidak langsung mereka saling member dan meminta pertolongan sehingga menimbulkan ikatan yang baik. Malah hal ini mampu mengajar rakyat berjimat cermat dan bersederhana dalam kehidupan bagi menampung kehidupan seharian.

4.3.2 Kesan negatif
Kemelesetan ekonomi ini menyebabkan pengangguran yang tinggi.  Guna tenaga di Malaysia telah berkurangan sebanyak 4.6% pada tahun 1997. Namun, kadar pengangguran ini menurun menjadi 3.1% pada Mei 2015. Pemberhentian pekerja dilakukan bagi mengurangkan kos pengeluaran organisasi (kos operasi). Kelemahan nilai ringgit juga memberikan kesan terhadap tuntutan kenaikan upah.
            Selain itu, kadar kemiskinan meningkat kepada 8.5% pada tahun 1998 berikutan pengucupan ekonomi yang menyebabkan pengurangan pekerjaan dan peluang menambah pendapatan serta kenaikan kadar inflasi. Kadar kemiskinan mengikut negeri pada tahun 2009 di Malaysia dimonopoli oleh Sabah dengan kadar kemiskinan sebanyak 19.7%. (Rujuk lampiran 4)
            Hasil daripada kejatuhan pasaran saham, keseluruhan pegangan ekuiti Bumiputera dalam syarikat yang tersenarai (tidak termasuk pegangan kerajaan) pada harga pasaran telah berkurangan daripada 29% pada Jun 1997 kepada 27% pada Februari 1998. Kejatuhan harga saham dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) juga memberikan kesan terhadap perniagaan Bumiputera terutama industri tempatan dan industri melibatkan bahan import yang tinggi. Kadar faedah yang tinggi,  keadaan kecairan yang ketat dan keperluan pinjaman yang semakin sukar di samping tekanan kredit juga menjejaskan perniagaan Bumiputera.
4.4 Pendidikan
Kemelesetan ekonomi ini juga memberi impak negatif kepada sistem pendidikan negara. Wujud cabaran besar dalam usaha mengembangkan pendidikan tinggi tempatan bagi memenuhi permintaan yang kian meningkat. Penurunan nilai mata wang telah menjejaskan keupayaan penaja untuk terus menaja pelajar di universiti luar negara. Secara amnya, kos untuk menaja seorang pelajar telah meningkat sebanyak 53.8% di Amerika Syarikat dan 65% di United Kingdom.
            Pengangguran dalam kalangan siswazah juga ialah salah satu kesan negatif kemelesetan ekonomi. Pada tahun 1998, kira-kira 33 000 lepasan universiti tempatan memasuki pasaran buruh. Kementerian pendidikan perlu menyelaraskan pendaftaran dan penempatan pekerjaan bagi siswazah menganggur. Usaha menggalakkan penyertaan siswazah dalam perniagaan kecil-kecilan dan skim aperentis perlu dilakukan dengan lebih luas serta memberikan bantuan modal dan latihan kepada mereka.

5.0 Penutup
Prospek dan harapan ekonomi Malaysia pada masa akan datang bergantung bagaimana ekonomi negara bertindak balas terhadap kegawatan ekonomi melanda negara-negara Asia dan pemulihan dunia daripada keadaan kemelesetan. Kemelesetan ekonomi di Malaysia dijangka pulih tetapi dengan kadar yang lambat. Selain itu, peranan rakyat dalam hal ini tidak boleh dikecualikan kerana sesungguhnya kerajaan itu pucuk tetapi rakyat itu adalah akarnya. Seperti kata cendekiawan tersebut, alangkah baiknya sekira kerajaan dan rakyat sama-sama berganding bahu dalam melalui saat-saat kegawatan ekonomi ini bagai aur dengan tebing. Oleh itu, adalah diharapkan pelan dan formula peralihan kuasa yang mungkin akan dipercepatkan di antara Perdana Menteri dan timbalannya seperti mana yang telah dipersetujui dan pertukaran portfolio yang melihatkan perlantikan Menteri. Rakyat menaruh kepercayaan yang tinggi serta berharap agar kerajaan dapat melakukan sesuatu agar kestabilan ekonomi, politik dan sosial di dalam negara kekal berada pada tahap yang terbaik dan kukuh pada masa hadapan.
            Ditinjau kepesatan negara dalam pelbagai aspek, terutamanya aspek pendidikan di Malaysia dari timur sampai ke barat dan dari Perlis sampai ke Sabah, kita mempunyai banyak pusat pengajian tinggi, iaitu universiti awam dan universiti swasta. Oleh yang demikian, untuk menangani krisis ini, pengaliran wang keluar dari negara ini haruslah dibendung. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menentukan anak-anak mereka supaya menyambung pendidikan tinggi di dalam negara sendiri dan tidak menghantar anak-anak mereka belajar di luar negara. Kerajaan menyarankan supaya rakyat Malaysia belajar di dalam negara dan bukannya di luar negara. Hal ini demikian kerana dalam era dunia sains dan teknologi, Malaysia juga tidak ketinggalan dan bukannya sebuah negara yang mundur. Malaysia diakui sebagai negara yang berkembang pesat dalam pendidikan tinggi. Rakyat, terutamanya ibu bapa seharusnya sedar bahawa pendidikan di Malaysia setaraf dengan dunia luar dan menghantar anak-anak mereka belajar di dalam negara dan bukannya di luar negara untuk mengelakkan pengaliran mata wang ke luar negara. Oleh itu, pelajar-pelajar kita yang berada di luar negara dalam semester akhir disarankan supaya pulang ke tanah air dan menyambung pelajaran di sini. Penghantaran anak-anak ke luar negara ini menelan belanja yang banyak dan merugikan negara jika kursus atau jurusan yang dipelajari itu ditawarkan di Malaysia. Oleh yang demikian, seharusnya rakyat peka dengan saranan kerajaan kerana hal ini dapat membantu bukan sahaja negara, malahan rakyat negara ini.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

kesan positif dan satu kesan negatif dasar pecah dan perintah pada zaman kolonial terhadap pembentukan masyarakat pluralistik di Malaysia

Sejarah seni tari Sumazau Papar dan fungsi props yang digunakan dalam tariannya

proses kemodenan, pamalan om pomogunaan do boros Kadazandusun id sikul, koburuon id sistom komoi boros om kodolinan boros Kadazandusun om tantaman id timpu dumontol do boros Kadazandusun