Sejarah seni tari Sumazau Papar dan fungsi props yang digunakan dalam tariannya

 

1.0       PENDAHULUAN

Etnik Kadazan adalah salah satu rumpun etnik peribumi Sabah yang tergolong sebagai penutur bahasa Dusunik (Dusunic). Sejak dari dahulu sampai masa kini,kebanyakan antara mereka tinggal di Daerah Penampang, Daerah Papar dan di Daerah Kecil Membakut (Peta  1). Ketika Sabah di bawah pentadbiran British North Borneo Company pada akhir kurun ke-19, istilah Kadazan tidak ditemui dalam banci penduduk rasmi kerajaan (Toru Ueda, 2006). Donald Stephens dan penyokongnya menyatakan bahawa kata “kadazan” bermaksud “orang kita” (our people). Reid (1997) pula melaporkan kata “kadazan” mungkin berasal daripada kata kakaadazan yang bermaksud “pekan”.

Peta 1 : Daerah Penampang (Merah Jambu), Daerah Papar (Merah) dan Daerah Kecil Membakut (Ungu)

            Penulisan ilmiah ini membincangkan sejarah seni tari Sumazau Papar. Selain itu, menjelaskan fungsi props yang digunakan dalam seni tari Sumazau Papar dan kaitan dengan budaya masyarakatnya.

2.0       SEJARAH SENI TARI SUMAZAU PAPAR

Dalam bahasa Kadazandusun, kata sazau bererti “tarian” dan kata sumazau bererti “menari” manakala kata susumazau pula bermaksud “penari”. Jika diteliti, terdapat banyak kata dalam bahasa Kadazandusun lain yang berkait dengan perbuatan menari seperti kasasaazau (baru sahaja menari), kasazau (dapat menari), kopisazau (boleh menari bersama), nakasazau (menari bersamasama dengan), nokopisazau (telah menari bersama-sama dengan) dan sansazau-sazau (semua sedang menari-nari) (Kamus Kadazan Dusun Malay-English, 1995). Dapat diperhatikan bahawa kata-kata ini semuanya berasal daripada kata akar “sazau” belaka.

            Tarian rakyat popular etnik Kadazan di Daerah Papar dikenali sebagai Sazau Papar Gaya mengambai (mengangkat dan membuka kedua-dua belah tangan) bagi Sazau Papar ini seperti burung layang-layang yang sedang terbang. Keunikan pergerakan tapak kaki penari perempuan, tumit bertemu tumit, ibu jari bertemu ibu jari. Ini membuatkan tarian ini lebih unik dan menarik. Irama tarian ini agak rancak dan pergerakan tangan penari kelihatan lembut. Manakala, pergerakan kaki bagi penari wanita pula kelihatan seperti orang yang sedang mengirik padi dari tangkainya. Keunikan pergerakan tapak kaki perempuan, tumit bertemu tumit, ibu jari bertemu ibu jari. Penari mempersembahkan tarian mereka secara berpasangan. Kedua-dua penari lelaki dan perempuan mula menari dengan irama yang lembut dan perlahan mengikut paluan gong.

Tarian ini dipersembahkan dalam beberapa ritual etnik Kadazan di Daerah Papar iaitu dalam Upacara Madsuwau, Upacara Monogit dan Upacara Gumazad. Upacara Madsuwau adalah upacara pemujaan semangat dapu atau tajau (tempayan), yang dipercayai mempunyai semangat yang harus dipelihara, disembah dan diberi makan supaya semangat berkenaan tidak akan marah dan memudaratkan orang yang memeliharanya. Semua  bentuk pemujaan dapu akan dibuat melalui tarian dengan alunan muzik yang mengiringinya.

Upacara Monogit diadakan ketika selesainya kerja-kerja membuang rumput di sawah. Tujuannya adalah untuk membayar sogit (pampasan) kepada semangat padi yang tercedera ketika kerja membuang rumput. Upacara ini dikendalikan oleh tujuh orang bobohizan. Sebaik sahaja pelafazan rinait selesai maka semua bobohizan tadi akan mencari pasangannya “bersazau”. Pasangan penari bobohizan terdiri daripada lelaki yang lebih tua daripada mereka.

Upacara Gumazad pula diadakan untuk menghalau hantu dari rumah baharu yang akan didiami penghuninya. Setelah pembacaan rinait (puisi ritual) selesai, bobohizan (wanita) akan mencari pasangan lelakinya bagi memulakan tarian yang dikenali sebagai Sazau Gumazad. Sazau Gumazad akan bermula di bilik rumah baharu. Dari bilik inilah mereka akan secara beransur-ansur bergerak ke luar rumah.

3.0       FUNGSI PROPS YANG DIGUNAKAN DALAM SENI TARI SUMAZAU PAPAR DAN                KAITAN DENGAN BUDAYA MASYARAKATNYA

Pada masa kini, tarian Sumazau Papar atau Sazau Papar ditarikan tanpa menggunakan apa-apa props melainkan pentas persembahan, penari dan juga hiasan diri serta pakaian. Namun begitu, menurut kajian yang dijalankan oleh Low Kok On dan Sri ningsih yang berjudul World View and Ritual Context in Sumazau Penampang, Sazau Papar and Sumazau Paina Membakut (2013) menerangkan bahawa Sazau Papar ini pada asalnya ditarikan menggunakan beberapa props mengikut upacara yang dijalankan. Props utama yang akan dibincangkan adalah Dapu, Pedang dan Badat. Ketiga-tiga Props ini masing-masing digunakan semasa menari Sazau Papar dengan tujuan-tujuan tertentu.

a) Dapu (tempayan)

Pada masa dahulu, setiap keluarga etnik Kadazan di kampungnya sekurang-kurangnya memiliki sebuah dapu. Dari segi kegunaannya, dapu digunakan untuk menyimpan air dan memproses pelbagai jenis minuman keras tradisional, khususnya tapai padi. Dapu juga dijadikan sebahagian daripada hantaran kahwin. Terdapat sesetengah keluarga Kadazandusun yang menyimpan tengkorak manusia di dalam dapu besar. Ketika ada keluarga si penyimpan dapu terkena penyakit, yang menurut bobohizan berpunca daripada semangat dapu, maka akan dikendalikan upacara pemujaan semangat dapu yang dikenali sebagai Upacara Madsuwau. Semua bentuk pemujaan dapu ini akan dibuat melalui tarian dengan alunan muzik yang mengiringinya.

Ringkasnya, tarian Sazau Papar pada asalnya ditarikan oleh para bobohizan dalam upacara Madsuwau untuk menyembah dapu sambil memohon kemaafan daripada semangat tersebut. Persembahan Sazau Papar dalam konteks ini diiringi dengan muzik yang terdiri daripada gong sebanyak tujuh buah, sepasang kulintangan dan sebuah gendang. Etnik Kadazan di Papar turut percaya bahawa paluan gendang, gong dan kulintangan berperanan memanggil dan membangunkan semangat di alam ghaib agar mereka menyertai upacara yang bakal dijalankan.

b) Pedang

Dalam upacara Gumazad, setiap lelaki yang menjadi pasangan bobohizan dalam menari sumazau akan memegang sebilah gayang (pedang) yang sedia terhunus. Perbuatan menetak kayu dengan pedang sambil memekik dengan kuatnya bertujuan menakutkan hantu-hantu di rumah baharu. Pedang yang ditetak dan pekikan kuat daripada pengamal upacara secara simboliknya bermaksud semangat jahat telah ditakuti dan akan meninggalkan rumah baharu.

c) Badat (Pondok Kecil)

Pada masa dahulu, Badat atau pondok kecil yang dibina khas untuk upacara Monogit ini digunakan sebagai props dalam tarian Sazau Papar. Upacara Monogit diadakan ketika selesainya kerja-kerja membuang rumput di sawah. Tujuannya adalah untuk membayar sogit (pampasan) kepada semangat padi yang tercedera ketika kerja membuang rumput. Upacara ini dikendalikan oleh tujuh orang bobohizan. Mereka akan memasang bendera putih di hadapan rumah di arah matahari terbit sambil membaca rinait (puisi ritual) sepanjang hari. Sebaik sahaja pelafazan rinait selesai maka semua bobohizan tadi akan mencari pasangannya “bersazau”. Seterusnya mereka akan “bersazau” sebanyak tujuh kali mengelilingi pondok Badat.

Langkah dan gerak kaki mereka kelihatan seperti orang sedang mengirik padi daripada tangkainya. Selepas bobohizan “bersazau” sebanyak tujuh kali mengelilingi balai Badat, barulah sesi menari dibuka kepada umum. Dalam konteks upacara Monogit ini, sazau yang ditarikan semasa bobohizan dalam keadaan menurun adalah dipandang kudus oleh etnik Kadazan. Sazau yang ditarikan oleh bobohizan dalam upacara Monogit turut mengesahkan kehadiran semangat dalam tubuh bobohizan.

4.0       PENUTUP

Seni tari asli Malaysia yang unik termasuklah Sazau Papar yang dibincangkan dalam penulisan ilmiah ini perlu dijaga dan diwarisi agar budaya bangsa tidak hilang dek peredaran masa. Meskipun beberapa props yang digunakan pada asalnya dalam tarian Sazau Papar tidak lagi diaplikasikan dalam masyarakat, namun seni tari dan pergerakannya masih dikekalkan seperti aslinya. Menurut Noor Aina Dani (1999), masyarakat Kadazan Papar tidak lagi menggunakan props Dapu, Pedang dan Badat dalam tarian Sazau Papar kerana wujudnya agama dalam masyarakat yang rata-ratanya telah memeluk agama Kristian. Rasional tindakan ini ialah menghindari tanggapan bahawa tarian ini bersifat animisme dan ditarikan untuk upacara atau ritual penyembahan semangat tertentu.

Comments

  1. Best 10 Casinos in San Diego - Mapyro
    Find the best casinos in San Diego, 안동 출장마사지 CA, along 경상북도 출장샵 with 충청북도 출장샵 information for casinos in San 의왕 출장마사지 Diego including gaming license number, gaming 김제 출장안마 tables, restaurants.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

kesan positif dan satu kesan negatif dasar pecah dan perintah pada zaman kolonial terhadap pembentukan masyarakat pluralistik di Malaysia

proses kemodenan, pamalan om pomogunaan do boros Kadazandusun id sikul, koburuon id sistom komoi boros om kodolinan boros Kadazandusun om tantaman id timpu dumontol do boros Kadazandusun